Ahad, 27 Mac 2016
Bulu Kambing Hitam
Al-kisah suatu masa dahulu, ada seorang saudagar muda lagi kacak, bergaya dan kaya, datang ke sebuah negeri. Dia bersiar-siar di bandar di negeri itu dan singgah di sebuah kedai menjual lukisan.
Dia terlihat sebuah lukisan gambar perempuan cantik. Lalu dia pun bertanya kepada pemilik dan pelukis gambar tersebut. "Siapakah perempuan ini?" Pelukis itu merasa hairan. "Apa benar Tuan tidak kenal perempuan ini? Perempuan ini adalah puteri raja negeri ini!"
Saudagar muda itu naik angau. Itulah perempuan yang tercantik yang pernah dilihat seumur hidupnya. Pada zaman ini mungkin setara dengan Emma Maembong agaknya. Dia bertekad untuk mendapatkan puteri raja yang jelita itu.
Lalu dia terus ke istana negeri itu. Dengan hajat besar merisik bagi dirinya sendiri bagi mendapatkan sang puteri. Tidak dengan tangan kosong, dia membawa sekali perhiasan dan hadiah mahal dengan hasrat memancing hati raja. Ala, macam orang sekarang ini. Tunjuk gambar duit dalam Facebook pastu bergambar atas kereta dengan hasrat memancing hati bakal downline.
Lalu dipersembahkan segala macam hadiah dan perhiasan kepada sang raja, sambil hasrat dinyatakan untuk mendapatkan sang puteri yang macam Emma Maembong itu. Namun, raja menolak dengan baik. Sang puteri telah pun bertunang dengan anak raja negeri sebelah.
Berkecai kecewa hati saudagar itu. Dia berasa sangat dendam dengan raja. Lalu, dia berjumpa dengan pawang untuk membomohkan sang raja.
Saudagar muda berpakat dengan pawang. Pawang akan bomohkan raja sehingga mati. Manakala saudagar muda memberi upah lumayan kepada pawang dan menawarkan jawatan ahli nujum sekiranya beliau merampas kuasa setelah kematian raja.
Rancangan kejahatan dan kekejian itu berjalan lancar dengan bantuan segala jin dan syaitan yang dipunyai si pawang.
Pada pagi yang malang itu, raja terus jatuh rebah setelah turun dari katil dan memijak lantai istana. Permaisuri panik. Jeritan beliau didengari seluruh istana tiga tingkat itu. Lalu berkejaranlah pengawal istana ke bilik beradu utama. Namun, pengawal pun tak tahu nak buat apa. Lalu, ahli nujum negara dipanggil.
Ahli nujum dengan tenang dan bersahaja masuk ke bilik beradu utama dengan segala perkakasan pernujuman beliau. Setenang air di sungai, beliau mula mendiagnosis. "Ternyata baginda telah disihir. Bagi meneutralkan bisa sihir itu, seluruh lantai istana ini perlu dihampar dengan bulu kambing hitam." Begitulah keputusan diagnosis ahli nujum negara.
Permaisuri panik! Kasih beliau kepada raja tidak berbelah bagi. Terus dia memanggil ketua pengawal. "Cari segera bulu kambing hitam untuk seluruh istana ini dalam tempoh tiga hari. Jika tidak, anak dan isteri kamu akan dibunuh! Beta bagi masa tiga hari sahaja!"
Apakah yang akan terjadi seterusnya? Nantikan sambungnya. Kalau tak sabar nak tunggu, sila buat sambungan sendiri. Hahahahahaha! (Gelak jahat).
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan